Wednesday, October 20, 2010

Proton S2000 berjaya tarik minat di Eropah

Rali Scotland yang berakhir hujung minggu lalu berjaya membuktikan kemampuan, kelasakan serta daya saing jentera Satria Neo S2000 ketika ia bersiap menghadapi musim Kejuaraan Rali Antara Benua (IRC) 2011 dengan penuh yakin.

Mungkin keputusan diraih bukan seperti diharap, namun kepantasan dipamerkan cukup membuktikan Proton Satria Neo S2000 mampu bersaing di arena antarabangsa sama seperti pengeluar kereta terkemuka lain yang sudah lama terlibat dalam dunia rali.

Selain berjaya menarik minat masyarakat Eropah, kereta rali model Proton ini yang konsisten dan kejayaan pemandunya, Alister McRae, meraih tempat kedua pada Rali Scotland tahun lalu, membuktikan kemampuan jentera ini selain sudah mula mendapat perhatian pelumba persendirian yang ingin mendapatkan jentera berkenaan untuk tujuan rali.

McRae bersama juruarah, Bill Hayes, menamatkan saingan perlumbaan pada hari terakhir di tempat keempat namun dia tidak bernasib baik kerana kejayaannya tidak mampu memperbaiki kedudukan selepas mengalami masalah pada jenteranya.

Rakan sepasukannya yang juga juara Rali Britain, Keith Cronin terpaksa menarik diri daripada saingan selepas tayarnya berulang kali pancit ketika saingan, masalah sama yang turut dihadapi pemandu terkemuka lain.
 
Pengurus Pasukan Proton, Chris Mellor, berkata meskipun gagal meraih mata, pemanduan McRae pada hari terakhir membuktikan betapa Proton mampu merapatkan jurang dengan Skoda, Ford dan Peugeot selain membuktikan ia lasak menghadapi rali sukar di Scotland.

“Malah sejak Proton mencatat keputusan konsisten pada Cabaran Rali Antara Benua (IRC) pada 2009, Satria Neo S2000 mula mendapat banyak pertanyaan daripada pelumba persendirian,” katanya.

No comments: